Monday, January 11, 2010

Siri Bercakap Dengan Jauhari Bikinfilem

Ext.Cafe.Evening.

Biasanya, petang, usai waktu pejabat adalah masa yang naik semangat untuk berlibur.  Apalagi kalau petang itu petang Jumaat.  Terasa dunia ini cerah dengan peluang-peluang libur, apatah lagi di ibukota seperti Kuala Lumpur ini.  Paling koman pun (kata orang Pahang) harus melepak di cafe-cafe yang yang jual kopi mahal.

Petang itu, walaupun punya semangat untuk berlibur, tapi tidak turun 'rasa' untuk berlibur di mana, dengan siapa, dan bagaimana caranya.   Rasa ini penting sebab, rasa akan menjadi petunjuk kepada diri untuk bangun dan berbuat sesuatu tanpa ragu.  Rasa bukan sahaja datang dari hati, tapi harus bermula dari gerak nurani, dan dipersetujui oleh segenap susuk tubuh dari ubun-ubun hingga ke hujung jari.  Maka apabila rasa ini sampai, turun, tiada lagi ragu untuk bergerak, berbuat, dan macam-macam 'ber' lagi.

Sebab petang itu, rasa tak sampai ke hujung jari, maka kaki hanya bawa diri ke kedai Dani.

Sahaja.

Sampai di depan kedai, rupanya ramai yang kurang rasa pada petang itu.  Kedai Dani, dipenuhi panel-panel diskusi bermacam kategori, politik, sukan, dan juga makan-makan.  Setelah pening akibat berpusing-pusing bola mata cari kategori yang boleh bawa berunding, tiba-tiba terlihat satu susuk tubuh yang dikenali mata.

"Din! duduk sini!"

"OK bang!"

Maka semudah itu jugalah kategori telah ditemui.

"Kau ada plan malam ni?"

"Takde bang"

"Bagus.  Aku nak kau pergi FINAS malam ni dan tonton screening on my behalf"

"Screening apa bang?"

"MBP punya docu"

"Ohh..by invitation ke? Kalau tak boleh masuk camna?"

"Kau cakap, aku yang hantar kau.  Ajak Azam sekali"

"OK"

"Esok kau report sama aku"

"Kenapa abang tak mau pergi?"

"Bukan tak mau, tapi tak boleh, aku banyak kerja"

Fade to white.

Pawagam Mini P. Ramlee. FINAS.

Tuan pengarah  FINAS dengan mikrofon di tangan.

"Kita di sini pada malam ini adalah untuk menonton dokumentari saudara MBP, dan pada masa yang sama kita boleh bagi komen untuk memperbaiki dan memurnikan lagi dokumentari ini"

Hadirin mengangguk-angguk tanda faham.

"Jadi, tanpa buang masa, marilah kita mulakan"

Sejurus usai kata-kata tuan pengarah FINAS itu tadi, lampu dimatikan.  Layar putih di sembur dengan imej dokumentari MBP.

"Bergoyang-goyang camera work dia"

"tak macam Nat Geo..."

"ini bukan standard FINAS ni.."

Bisik suara-suara kecil memberi komen dari belakang.  MBP yang juga duduk di barisan yang sama tetap tenang.

Usai, tayangan.  Tatkala lampu dipasang kembali, juruacara memulakan agenda.

" Ya tuan-tuan, silalah beri komen"

Hadirin senyap.  Ada yang berpandangan sesama sendiri, ada yang buat-buat tulis sesuatu.

"Saya rasa dokumentari ini menyedihkan, tak macam discovery channel, tak macam National georgraphic!"  kata pengkomen pertama.

"Sebagai seorang penonton biasa, saya tak faham dokumentari ini sebab tak ada narration atau voice over, saya rasa saudara MBP patut masukkan voice over supaya penonton tak perlu pikir sendiri" kata pengkomen kedua.

Dan, selepas itu seperti hujan monsun di musim tengkujuh, komen datang berkoyan-koyan.

Dan, dalam berkoyan itu, tiada secupak pun yang positif.

Sesi dialog selepas tayangan, menjadi medan menghentam, MBP kiri, kanan, atas, bawah.

Kalaulah MBP itu keturunan Panglima Cucu Datuk Merah, nescaya bermandi darah Mini Pawagam P. Ramlee malam itu.

Tapi Allah Maha mengetahui, walaupun di hentam teruk, MBP masih cool (atau tak peduli?)

Usai sesi hentam.  Para pengkomen beredar dari mini pawagam, dan pergi minum-minum.

Jelas terpancar aura kepuasan setelah segala isi hati, serta dendam kesumat berjaya diluahkan.

Fade to Black


Int. Home. Day.

Sehari sebelum tayangan.


Akhbar Utusan Malaysia, dikatakan akhbar berbahasa Melayu paling laris di Malaysia, memaparkan artikel tentang seorang pembikin filem yang kecewa dengan FINAS dan panel penilai FINAS.

Tajuknya berbunyi 'Mereka Tak Tahu Bahasa Filem-MBP'.

Fade to Black


Fatwa FINAS, dokumentari yang baik adalah yang macam di Discovery Channel atau National Geographic.

Sebab kami yang sumbang dana, pembikin filem harus berterima kasih dan sila ikut fatwa.

END

1 comment:

  1. blog yang bagus, ape kate try pegi visit blog saye ni plak kalau nak tahu info yang unik dan elegan di http://tolongsenyap.blogspot.com ,try visit erk

    ReplyDelete